Blog ini milik aku iaitu Seimura. Blog khas untuk penulisan kreatifku yang tak berapa nak kreatif sangat. Semua cerita adalah rekaan semata-mata tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati kecuali pada label 'kisah silam'.

Sunday, April 4, 2010

Sehangat Angin Aswan


Kelihatan beberapa orang gadis sedang asyik bergambar sambil bergelak tawa. Salah seorang daripadanya seperti pernah ku lihat sebelum ini tetapi di mana ya? Aku mengamati dari jauh. Oh aku rasa aku memang cam dia ini. Tapi mengapa pakaiannya berbeza? Setahu aku dia pakai jubah, tudung labuh dan berniqab lagi. Tetapi kali ini dia berseluar jeans, t-shirt lengan panjang dan bertudung bawal.
 
Tiba-tiba gadis itu meninggalkan kumpulannya. Oh mahu jawab panggilan telefon rupanya. Aku memberanikan diri mendekatinya. Setelah dia habis berbual dalam telefon, aku menyapanya dengan memberi salam.

"Assalamualaikum ustazah."

Dia menoleh dan agak terkejut melihatku tapi dia kelihatan tenang. "Waalaikumussalam." Dia menjawab salamku. 

"Buat apa di sini? Bercuti ke?" tiba-tiba aku bertanya ramah. Sebenarnya aku mahu tanya namanya siapa. Aku bukan tahu, cuma pernah nampak sahaja. Aku yakin dia satu tempat belajar dengan aku.

"Emm haah. Lebih kurang lah. Ustaz buat apa pula di sini? Bercuti juga kah?"  dia pula bertanya padaku.

“Ya, jalan-jalan. Hmm ustazah ni nama siapa?” aku menanya namanya dan aku harap dia tidak berdalih dan menjawab dengan jujur.

Dia mengerutkan kening memandangku? Aku silap cakapkah? Aku masih diam menunggu jawapan.

“Emm. Raihana. Ada apa-apa lagi nak tanya?” soalnya agak jengkel dengan kehadiran dan soalanku barangkali. Mungkin dia mula rasa tidak senang dan mahu mengelak atau melarikan diri. Tapi aku memang benar-benar mahu tanya banyak lagi. Cuma aku perlu menyusun dan mengatur soalan apa yang perlu dilontar terlebih dahulu.

“Dah ke belum? Lamanya fikir?” gadis ini memerli aku. Aku tidak perasan pula aku diam agak lama. Ah tanya sahaja lah banyak sekaligus. 

“Datang sini dengan siapa? Siapa yang bawa? Menginap di mana? Dah berapa hari di sini?” bertalu-talu ku ajukan soalan. Sebenarnya ada lagi yang mahu ku tanya tapi khuatir dia tidak dapat menjawab dengan teratur pula. Aku tunggu dia habis jawap dahulu baru ku ajukan soalan lain.

“Ustaz tak perlu tahu semua itu. Ok lah saya harus pergi sekarang.” 

“Nanti dulu. Saya tahu ustazah datang sini secara underground kan? Nak saya adu pada DPM ke supaya mereka ambil tindakan ke atas ustazah.” aku terpaksa berkeras seraya mengugut agar dia boleh beri kerjasama dengan menjawab jujur soalan-soalan aku. Aku bukan mahu menghentamnya tapi sekadar mahu tahu bagaimana dia datang ke tempat sejauh ini dengan berpakaian begini.

“Oh ustaz ugut saya? Adu lah pada DPM. Laporkan sahaja kepada mereka. Saya tak takut.” Ujarnya dengan penuh angkuh sambil menjeling tajam ke arahku.

“Ustazah jangan cabar saya..” aku juga tidak mahu mengalah. Perempuan ini tidak rasa bersalah langsung dan perlu diajar agar lebih hormat kaum bukan sejenisnya bila berinteraksi.

“Saya peduli apa ustaz rasa tercabar ke apa ke. Ada saya susahkan hidup ustaz? Ada saya kacau hidup ustaz?” dia semakin galak memprovok aku. Aku perlu lebih bertenang berhadapan orang seperti ini yang kelihatan sangat degil dan keras kepala.

“Baiklah. Saya minta maaf kalau ustazah rasa saya mengugut ustazah. Bukan niat saya. Tapi menjadi tanggungjawab saya juga sebagai siswa yang setempat dengan ustazah untuk mengambil berat siswi yang berjalan jauh dari tempat belajar kita.” aku lebih berdiplomasi kali ini. Mudah-mudahan beliau juga lebih bertenang dan tidak sangka yang bukan-bukan terhadap aku. Mungkin dia menyangka aku benar-benar mahu adu pada DPM.


“Saya minta maaf juga kerana agak biadap. Terima kasih atas prihatinan itu. Ya benar saya datang secara underground tapi janganlah ustaz risau. Kawan-kawan saya semua boleh dipercayai. Saya memang teringin sangat berjalan dan melancong ke Aswan. DPM setakat ini belum pernah menganjurkan jaulah hingga ke Aswan. Kalau nak tunggu DPM, sampai habis belajar la saya tak akan merasa jaulah ke Aswan. Jadi memaksa saya untuk pergi sendiri secara underground. Tapi kalau DPM anjurkan pun, saya malas nak join, tak bebas sangat. Lebih baik pergi sendiri, puas hati.” Dia menerangkan panjang lebar.

“Maksud ustazah tak bebas berpakaian seperti ini?” soalku berani. 

“Kenapa? Ustaz ada masalah dengan pakaian saya? Bukan dedah aurat pun.” Dia mempertahankan diri dengan hujahnya. Aku sebenarnya tidak bermaksud mahu perli pakaiannya tetapi kurang jelas dengan perkataan ‘bebas’ yang diungkapkannya tadi. Bebas dari segi apa? Pergaulan kah?

Seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiranku, dia berkata lagi, “Maksud saya bebas itu adalah tidak terikat dengan schedule dan tidak terkejar-kejar untuk pergi ke satu-satu tempat. Pergi sendiri lebih santai dan tidak perlu menunggu semua orang berkumpul baru bergerak. Bila pergi ramai-ramai ni faham-faham sahajalah. Banyak sangat ragamnya. Saya pentingkan keselesaan.”

Akhirnya aku mengerti. Bukan semua orang selesa berjaulah ramai-ramai dengan menaiki bas dan rasa menyusahkan lagi ada apabila sebahagian siswa atau siswi bermasalah terutama lambat dan leceh. Aku juga kadang-kadang merasakan begitu tetapi aku tidak kisah. Kaum hawa ini memang kompleks, ada sahaja benda yang tak berkenan di hati.

Dia meminta izin untuk pergi apabila mendapat satu panggilan telefon. Barangkali salah seorang dari rakan jaulahnya. Aku sempat berpesan agar jaga akhlak dan maruah termasuk juga pakaiannya. Mudah-mudahan dia mendengar nasihatku. Aku sudah menunaikan tanggungjawabku untuk menegurnya. Selebihnya aku berserah kepada Allah. Dan aku juga masih perlu perbaiki diri. Moga Allah membantu hamba-Nya yang lemah ini. Amiiinn.

No comments: